Thursday, December 17, 2015

Faktor-Faktor Pendorong Penggunaan Media Sosial



Antara faktor-faktor pendorong penggunaan media sosial adalah untuk meminimakan kos pengiklanan. Sebelum wujudnya media sosial, media bercetak seperti surat khabar, majalah dan buku telah digunakan untuk menyebarkan maklumat kepada pembaca.  Kos pengiklanan menggunakan media cetak memerlukan belanja yang besar jika dibandingkan dengan media sosial iaitu kos pengiklanan adalah secara percuma.  Jika dulu  syarikat-syarikat besar sahaja yang berkemampuan menggunakan media sosial sebagai strategi pemasaran namun pada hari ini, iklan dan promosi dari peniaga-peniaga kecil juga turut menghiasi laman media sosial sekarang. Tidak dinafikan lagi bahawa mereka dapat mengurangkan kos pengiklanan mereka jika dibandingkan dengan cara pemasaran lain selain media sosial. Banyak perniagaan besar dan terkenal telah memanfaatkan media sosial sebagai media publisiti untuk memperkenalkan produk mereka. Contohnya melalui penggunaan Facebook kerana usahawan sedar akan pengguna Facebook yang sangat ramai dan ini memudahkan lagi aktiviti pemasaran produk-produk mereka.

Selain itu, terdapat juga syarikat yang menggunakan media sosial yang menyediakan ruangan khidmat pelanggan mereka. Interaksi dengan pelanggan adalah perkara yang penting dalam apa jua perniagaan dan setiap maklumbalas daripada mereka akan meningkatkan lagi kepercayaan pelanggan lain dengan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Dengan cara ini, mereka boleh memberikan khidmat yang lebih cepat malah dapat mengeratkan lagi hubungan dengan pelanggan yang sedia ada. Pelanggan akan memberi maklum balas yang positif untuk perkhidmatan yang memuaskan dan begitu juga sebaiknya. Seperti yang kita sedia maklum, maklum balas dalam media massa memainkan peranan penting dalam sesebuah perniagaan memandangkan ianya dapat dibaca oleh pembaca maka maklum balas yang positif akan menarik lebih ramai pelanggan baru manakala maklum balas yang negatif pula sebaliknya. Maklumat yang diperolehi daripada maklum balas ini akan digunakan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan prestasi mereka sendiri sebagai seorang usahawan dan perniagaan mereka. Itulah sebabnya mengapa media sosial ini memainkan peranan yang sangat penting dalam pemasaran masa kini.

Media Sosial juga menjadi tempat untuk meluaskan pemasaran yang efektif kerana kemudahan internet itu sendiri yang kini manfaatnya boleh dinikmati oleh berbagai kalangan masyarakat tanpa mengira peringkat umur. Sebagai contoh, apabila kita membuka tapak jualan ataupun kedai, pelanggan akan tertarik kepada orang ramai yang berkumpul di kawasan kita berniaga. Ini juga sama berlaku kepada perniagaan di media sosial di mana pembaca akan tertarik kepada “page” yang mendapat sambutan yang mengalakkan malah mereka akan terus memberi perhatian sepenuhnya apabila terdapat pelanggan yang membeli produk yang sama berulang-kali dari peniaga yang sama.

Dengan kemudahan media sosial, proses penyebaran informasi dan maklumat menjadi lebih mudah kerana pemilik media massa tersebut hanya perlu membuat artikel, tulisan, gambar, video, atau apa jua bentuk informasi dan meletakkannya di media sosial tertentu yang dapat dilihat oleh semua pengguna di internet.

Selain itu, dengan adanya sistem pemberitahuan atau notifikasi kepada pengguna media sosial, dapat memberitahu pengguna-pengguna ini bahawa ada posting informasi terbaru daripada peniaga-peniaga tertentu. Dengan cara ini, mereka boleh mendapatkan informasi dengan pantas dan cepat.

Kesimpulan



Media sosial telah mengambil peranan penting dalam marketing sesebuah perniagaan. Ianya berkembang pesat menjadi media yang pantas dan cepat dengan penyampaian berita terkini. Dengan adanya media sosial ini mampu  menciptakan sebuah dimensi baru untuk pemasaran internet sehingga menjadi lebih efektif dan lebih produktif jika kita mampu mempertahankannya dan mengembangkannya menjadi sebuah media internet marketing yang lebih komprehensif untuk menarik pembeli. Kesimpulannya, media sosial merupakan sebuah platform internet yang sangat berguna terutama bagi mereka yang menginginkan pemasaran melalui media internet yang produktif tanpa mempunyai kos yang tinggi untuk dikeluarkan untuk pemasarannya.  Teknik Pemasaran media sosial diakui merupakan alat pemasaran yang terbesar dan dominan pada masa ini.