Sunday, January 3, 2016

Cabaran/Halangan Penggunaan Media Sosial Di Malaysia



Namun masih terdapat cabaran dan halangan penggunaan media sosial di Malaysia. Antaranya ialah kesahihan sesuatu maklumat. Maklumat yang tepat dan sahih adalah penting bagi menjamin tidak berlaku penyelewengan maklumat dan sekaligus mengelakkan penganiayaan pelanggan. Pihak yang tidak bertanggungjawab akan memberi maklumat palsu semata-mata untuk menarik perhatian pelanggan tetapi maklumat yang diberi tidak sama seperti yang diuar-uarkan dalam media sosial. Saban hari terdapat ramai pelanggan yang tertipu apabila mendapat produk tiruan setelah membayar dengan harga yang tinggi atau mendapat barangan yang lain seperti yang dilihat dalam media sosial. Ini menyebabkan ramai pelanggan berasa was-was untuk membeli dan ini sekaligus akan memberi kesan kepada usahawan yang menjalankan perniagaan dengan jujur. Keadaan ini umpama kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Selain daripada kita juga seringkali membaca dan mendengar kes-kes penipuan berbentuk kewangan. Penipuan ini telah semakin merebak dan semakin ramai yang menjadi mangsa penipuan. Pada masa sekarang, kita jarang mendapat perkhidmatan “cash delivery” yang menuntut pembayaran apabila barang sampai ke destinasi kita. Kebanyakkan perniagaan yang dilakukan sekarang melakukan transaksi pemindahan wang secara talian dan apabila mereka mendapat barangan yang tidak berkualiti adalah sukar bagi mereka untuk menuntut ganti rugi atau mengambil balik wang mereka. Malahan ada di kalangan mereka yang melarikan diri apabila mendapat wang dan meninggalkan pelanggan terkapai-kapai tanpa sebarang jawapan. Sekurang-kurangnya jika pelanggan datang sendiri ke premis perniagaan dan memilih sendiri barangan yang berkualiti dan memuaskan, kes-kes penipuan ini dapat dielakkan. 

Masalah keselamatan juga menjadi isu dalam penggunaan media sosial. Ini kerana pengguna lain dapat mengakses masuk ke dalam data kita tanpa kebenaran kita. Hal ini akan menyebabkan berlakunya kebocoran aklumat mengenai syarikat.  Kita seringkali mendengar Facebook dipecah masuk oleh penggodam yang tidak berpuas hati atau yang mempunyai niat yang tidak baik. Usahawan seharusnya sentiasa dalam keadaan peka dengan maklumat syarikatnya lebih-lebih lagi jika menggunakan media sosial sebagai pemasaran produk dan perkhidmatan mereka. Serangan mungkin akan berlaku akibat suka-suka ataupun sabotaj daripada pesaing lain. Malahan gosip dan fitnah juga akan tersebar tanpa kawalan dan sekaligus akan memberi imej buruk kepada usahawan dan perniagaan. Sekarang dengan jari sahaja, pelbagai anasir buruk dan kritikan yang mampu menjatuhkan kredibiliti sesorang usahawan akan disebarkan dalam media sosial. Kerana kecanggihan media sosial yang boleh diakses pada bila-bila masa, maklumat salah akan disebarkan dan tersebar dalam tempoh yang singkat dan adalah sukar untuk mengawalnya jika sudah tersebar.

Akhir sekali, untuk melakukan pemasaran yang berkesan melalui media sosial memerlukan penyediaan pelan, dengan jadual yang betul dan kandungan yang baik untuk dikongsikan bersama. Jika seseorang usahawan itu tidak mempunyai pelan dan strategi yang berkesan untuk memperkembangkan perniagaannya, dia akan mendapat pulangan atau hasil yang kurang memuaskan dan boleh menyebabkan kerosakan reputasi dan memburukkan nama syarikat. Seseorang usahawan juga perlu menganalisis strategi media sosial mereka pada setiap bulan dan meminda dan mengubah suai strategi untuk memenuhi permintaan pasaran terkini. Ini bukan tugas yang mudah apabila perubahan teknologi  yang berlaku sangat pantas. Mereka juga harus mempertimbangkan waktu mereka membuat pengiklanan dan promosi jika pelanggan mereka dari zon waktu yang berlainan. Untuk itu, setiap usahawan perlu menghadiri seminar atau kursus usahawan internet yang sentiasa dianjurkan oleh pakar-pakar internet. 

No comments:

Post a Comment