Sunday, January 3, 2016

Kepentingan Media Sosial Dalam Perniagaan


Bersosial di laman maya sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan pada masa kini. Strategi perniagaan melalui media sosial memiliki keunikan tersendiri kepada para usahawan. Media sosial membawa perubahan terhadap cara usahawan untuk memajukan perniagaan mereka. Para usahawan juga menjadikan penggunaan media sosial sebagai keutamaan  dalam mempromosikan  produk-produk keluaran mereka. 


Antara kepentingan media sosial dalam perniagaan ialah usahawan menjadikan media sosial sebagai lubuk jualan produk-produk keluaran mereka. Jualan akan menjadi lebih mudah apabila terdapat banyak ‘potential customer’. Pengguna laman sosial yang ramai membuka peluang jualan yang lebih besar. Penggunaan media sosial dapat menarik pelanggan lebih ramai samada pelanggan yang di kenali atau tidak dikenali. Sebagai contoh, bayangkan jika kita membuka kedai di belakang lorong-lorong kecil jalan yang terletak di bahagian belakang dan jauh dari pandangan orang ramai. Sudah tentu jualan anda sedikit.  Oleh sebab itu banyak syarikat besar dan berjenama seperti Jusco dan Tesco memilih untuk membuka cawangan mereka di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang besar supaya dapat menarik pelanggan yang lebih ramai.

Selain itu, penggunaan media sosial penting dalam pemasaran produk-produk sesebuah syarikat.  Dengan adanya media sosial, pemasaran perniagaan adalah secara percuma.  Laman sosial tidak memerlukan sebarang kos untuk kita mendapatkan satu akaun. Ianya pada kebiasannya diberikan secara percuma. Hanya perlukan email sahaja dan anda akan mendapat kunci untuk jualan melalui laman sosial ini. Bukan sahaja percuma, malah pendekatan ini lebih efektif buat masa kini. Pemasaran menggunakan laman sosial ini menjadikan sesuatu berita itu akan lebih cepat tersebar di dalam laman sosial kerana berlakunya biasan berita atau entri di dalam laman sosial.  Misalnya, anda membuat satu entri atau post (menyebarkan maklumat), rakan-rakan anda akan dapat terus post tersebut. Jika mereka menyukainya, mereka boleh berkongsi dengan rakan-rakan mereka dan proses tersebut akan berulang-ulang secara terus. Ini yang dinamakan Viral Marketing.  Hal ini secara tidak langsung dapat mempromosikan produk-produk keluaran mereka kepada ramai pengguna media sosial yang lain.

Di samping itu, media sosial memberikan kelebihan kepada sesebuah syarikat untuk bersaing dengan pesaing lain.  Penyertaan syarikat dalam media sosial membolehkan perniagaan syarikat mendapat peluang yang lebih besar dan kelebihan untuk terlibat dalam pengiklanan yang lebih efektif. Selain itu, ia menjadikan syarikat yang kukuh dan berdaya saing berbanding dengan pesaing lain. Kebanyakan aspek media sosial juga disediakan secara terbuka, ini bermaksud sesebuah syarikat juga boleh memerhati keadaan pesaing-pesaing lain. Anda mungkin ingin menyesuaikan idea mereka atau lebih baik daripada mereka apabila anda ingin menghasilkan pelan pemasaran syarikat anda sendiri.



Tambahan itu juga, kerja pencarian maklumat dan data semakin mudah dan terkini seperti yang kita sedia maklum, setiap usahawan sentiasa inginkan kejayaan dalam setiap bidang yang diceburi. Namun tidak dapat dinafikan, ada juga dikalangan mereka yang gagal mencapai matlamat yang disasarkan. Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, seseorang itu perlulah mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang yang diceburi dan bukannya hanya sembarangan sahaja melakukan sebarang aktiviti perniagaan tanpa memikirkan segala risiko yang akan dihadapi. Ilmu pengetahuan tersebut diperolehi samada daripada pengalaman sendiri, ilmu yang dipelajari, pembacaan ataupun daripada pemerhatian daripada pengalaman orang lain. Dengan ini mereka sentiasa mencari dan peka dengan maklumat terkini daripada media sosial. Dengan penggunaan media sosial, kerja pencarian maklumat dan data semakin mudah dan terkini.



Kita juga dapat melihat pelbagai laman web telah dicipta untuk memberi penerangan tentang sesuatu perniagaan, apa yang perlu dilakukan dan larangan dalam menjalankan perniagaan. Usahawan juga boleh berkongsi pengalaman mereka bersama dengan usahawan lain dan ini dapat memberi gambaran dan teladan usahawan lain yang ingin menceburi bidang yang sama dan pada masa yang sama dapat memberi dorongan dan semangat kepada mereka untuk melakukan perniagaan tersebut.  Kita dapat melihat usahawan yang berjaya seperti Dr. Azizan Osman yang pada mulanya seorang ahli perniagaan yang kecundang dalam bisnes yang dijalani sehingga menyebabkan beliau kerugian wang berjuta-juta. Namun beliau tidak pernah putus asa dan bangkit semula dan berkongsi pengalamannya kepada usahawan yang lain tidak kira yang sudah lama atau baru berkecimpung dalam perniagaan. Dari sini kita dapat melihat peranan media sosial dalam membangkitkan semangat usahawan lain untuk berjaya dalam perniagaan yang diceburi.


Media sosial juga penting dalam perniagaan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan pencapaian prestasi usahawan dan syarikat.  Dengan maklumat yang diperolehi, usahawan juga dapat menggunakannya untuk memperbaiki dan mempertingkatkan lagi pencapaian prestasi usahawan itu sendiri dan syarikat mereka. Usahawan juga dapat bertukar-tukar pendapat, maklumat, dan produk sesama usahawan atau pihak lain yang berkepentingan. Selain itu, usahawan juga boleh menghubungi sesiapa sahaja seperti kenalan, pembekal, pengedar, pelanggan dan lain-lain untuk bertanya atau mendapatkan maklumat mengenai perniagaan, peluang-peluang perniagaan dan sebagainya. Sebagai contoh penggunaan Internet Explorer dan Google untuk menghantar e-mail dengan pantas, jimat dan boleh dilakukan dimana sahaja selagi terdapat akses internet. Penggunaan Skype yang merupakan sebuah perisian komunikasi percuma yang membolehkan pengguna membuat panggilan, menghantar mesej secara segera dan melakukan panggilan video dalam talian walaupun mereka berada pada jarak beribu batu. Selain untuk panggilan, Skype juga dapat digunakan untuk berbual (chatting), kirim SMS, persidangan, pemindahan maklumat, panggilan suara hingga Call Forward.

  Selain daripada itu, usahawan juga memerlukan media sosial dalam perniagaan mereka untuk mendapatkan maklum balas daripada pelanggan mereka. Dengan mencari maklum balas daripada pelanggan atau pengguna, usahawan dapat mengetahui prestasi dan pencapaian usaha mereka dalam mengendalikan perniagaan mereka. Setiap laman web mahupun Facebook dapat dilihat pelbagai testimoni daripada pelanggan yang telah mengguna produk usahawan mereka. Maklum balas dalam media sosial memainkan peranan penting dalam sesebuah perniagaan memandangkan ianya dapat dibaca oleh pembaca lain maka maklum balas yang positif akan menarik lebih ramai pelanggan baru manakala maklum balas yang negatif pula menyebabkan kehilangan pelanggan yang sedia ada. Maklumat yang diperolehi daripada maklum balas ini akan digunakan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan prestasi mereka sendiri sebagai seorang usahawan dan perniagaan mereka. Dengan ini, usahawan yang berjaya diibaratkan sebagai pendengar yang baik kerana mengambil tindakan pantas daripada maklum balas pelanggan mereka. Dengan maklum balas ini juga, usahawan dapat belajar dari kegagalan dan kesilapan mereka. Tanpa pelanggan, usahawan itu tidak akan berjaya mencapai matlamatnya dalam mengembangkan perniagaannya dalam setiap bidang yang diceburi.


Akhir sekali,media sosial juga penting kepada usahawan dan syarikat sebagai Khidmat Pelanggan. Tiada cara yang lebih baik untuk memastikan para pelanggan sentiasa gembira selain daripada menyediakan kaedah yang membolehkan para pelanggan mendapat maklumat penuh dan sokongan tentang produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Media sosial membolehkan anda sentiasa berkomunikasi dengan pelanggan, dan dengan itu memberi perkhidmatan yang sentiasa diingati dan diganjarkan dengan pembelian baru.








 

No comments:

Post a Comment